Apa itu pasaran hadapan minyak sawit

Salam,

Ini merupakan persoalan yang berlegar-legar kepada mereka yang sentiasa mencari cara-cara pelaburan yang memberikan pulangan lumayan. Mungkin ada yang bertanya apa itu pasaran hadapan minyak sawit? Boleh buat untung? Sah ke dari segi undang-undang? Urusniaganya mematuhi syariah tak?

Segalanya terjawab di sini…

Pasaran hadapan minyak sawit atau lebih dikenali sebagai FCPO adalah salah satu dari produk futures yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatif (BMD). Ia adalah produk futures yang mematuhi syariah (syariah compliant) yang disandarkan kepada pasaran fizikal kelapa sawit dunia.

FCPO didefinisikan sebagai suatu kontrak derivatif (yang diperakui undang-undang Malaysia) di antara pembeli dan penjual untuk menerima atau menghantar minyak sawit mentah (1 lot FCPO bersamaan dengan 25 Tan Metrik minyak sawit mentah) pada suatu masa tertentu di masa hadapan.

FCPO diniagakan dalam Ringgit Malaysia di mana satu pergerakan minima harga (satu tick) bagi FCPO adalah RM1 di futures yang membawa nilai sebenar RM25. Oleh itu jika harga FCPO bergerak sebanyak RM5, ini bermakna nilai sebenar kepada pelabur adalah RM25 X RM5 = RM125.

Kontrak ini adalah mengikut bulan. Kontrak yang ditawarkan BMD adalah kontrak bagi bulan semasa dan lima bulan berikutnya, diikuti bulan-bulan seterusnya secara berselang satu bulan, sehinggalah ke bulan 24 yang akan datang. Kontrak akan menjadi matang pada 15 haribulan pada bulan dimana kontrak itu disebut. Contohnya, kontrak bulan Januari 2010 akan matang pada bulan Januari 2010 manakala tarikh akhir urusniaganya adalah pada 15 Januari 2010.

Futures(FCPO) membenarkan kita membeli dahulu dan kemudian jual begitu juga menjual dahulu dan kemudian baru membeli. Keuntungan diperolehi apabila melengkapkan urusniaga kita dengan membeli pada harga rendah dan menjual pada harga tinggi. Kontrak yang diniagakan adalah sah dari segi undang-undang.

Baiklah… Apa akan terjadi sekiranya kita tidak melengkapkan urusniaga, sebagai contoh, setelah tempoh matang kita masih memegang kontrak, kita wajib meneruskan dengan proses tender fizikal minyak sawit. Dalam kata lain, pelabur yang masih memegang kontrak belian FCPO pada tarikh matang perlu menerima 25 tan metrik minyak sawit (bagi setiap kontrak) daripada pelabur yang masih memegang kontrak jualan FCPO pada tarikh matang yang sama. Diulangi, pelabur terpaksa berurusan dengan minyak sawit secara fizikal. Oleh yang demikian, pelabur tidak digalakkan menjalankan urusniaga ke atas kontrak yang hampir tamat.

Jual atau beli kontrak pada bulan yang masih jauh juga boleh memerangkap pelabur kerana kontrak bulan sebegini, kadar kecairannya adalah rendah. Apabila pembelian talah dilakukan masa ada sedikit kesukaran untuk menjual semula. Begitu sebaliknya.

Adalah menjadi kebiasaan pelabur di dalam pasaran, terutamanya spekulator, untuk berurusniaga FCPO pada kontrak bulan ke tiga. Istilahnya adalah ‘benchmark contract month’. Apabila membeli atau menjual kontrak bulan ketiga, ada cukup masa untuk melengkapkan urusniaga manakala kadar kecairannya adalah paling tinggi.

Kadar margin atau deposit bagi setiap lot adalah ditentukan oleh BMD Clearing. BMD Clearing akan menyemak kadar ini dari masa kesemasa dan mengubahnya mengikut keperluan pengurusan risiko mereka.

Pada masa sekarang, kadar margin bagi setiap lot FCPO telah ditetapkan oleh BMD Clearing pada RM4,000 (Julai 2010). Walau bagaimanapun, terdapat syarikat broker yang membenarkan separuh margin (RM2,000) bagi urusniaga singkat (melengkapkan urusniaga pada hari yang sama).

Masa urusniaga bagi FCPO adalah seperti berikut:
Sesi pagi : 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari.
Sesi petang : 3.00 petang hingga 6.00 petang.

Walau bagaimanapun, terdapat suatu tempoh yang dinamakan ‘pre-opening’ pada setiap sesi. Pada tempoh ini, pelabur boleh membuat tempahan harga, mengubah tempahan harga, atau membatalkan tempahan harga. Dalam tempoh ini, beli dan jual tidak dipadankan.

Tempahan beli dan tempahan jual yang dibuat dalam tempoh ini akan dikumpulkan dan hanya akan dipadankan pada jam 10.30 pagi (bagi sesi pagi) dan 3.00 petang (bagi sesi petang) iaitu apabila bermulanya tempoh urusniaga sebenar. Purata harga bagi tempahan yang dikumpulkan itu akan menjadi harga pertama urusniaga pada sesi berkenaan.

Tempoh ‘pre-opening’ atau pra pembukaan pasaran ini adalah seperti berikut :
Sesi pagi : 10.00 pagi hingga 10.30 pagi.
Sesi petang : 2.30 petang hingga 3.00 petang.

Pelabur FCPO, pada tempoh ‘pre-opening’ ini, digalakkan menelefon FBR masing-masing untuk menyemak fakta perubahan fundamental yang penting bagi mengelakkan kejutan semasa pembukaan sesi.

Sekiranya ada jangkaan pada perubahan mengejut dalam aliran pasaran, bolehlah peniaga membuat persediaan menukar strategi dan memberi arahan kepada FBR untuk sebarang tempahan harga bagi urusniaga baru, stop loss ataupun membatalkan tempahan harga yang telah dibuat.

Bagaimana bursa menemukan pembeli dan penjual? Kaedah yang digunakan dikenali sebagai NOVATION.

Novation adalah proses dimana bursa malaysia akan memadankan dua urusniaga; belian dan jualan. Apabila didapati seorang pembeli A (Haris) dan seorang penjual B (Hazmi) menawarkan harga masing-masing pada aras harga yang sama; bursa akan membeli daripada penjual B (Hazmi) dan pada masa yang sama bursa juga menjual kepada pembeli A (Haris). Ini adalah cara bagaimana bursa menemukan pembeli dan penjual. Kenapa sampai begitu?

Pertamanya, ini untuk memastikan pada tarikh matang kontrak, pembeli dan penjual spekulasi dapat melengkapkan urusniaga mereka. Baki pemegang kontrak yang tinggal adalah hedgers yang mahu menghantar dan menerima minyak sawit. Seterusnya Bursa malaysia akan menyelia penghantaran dan penerimaan minyak sawit berkenaan. Dengan ini keperluan dan matlamat spekulator, hedger atau lain-lain kategori peniaga FCPO adalah tercapai.

Keduanya, novation membolehkan Bursa malaysia mengawal dan menyelia pasaran yang adil dan saksama melalui urusniaga yang sah selain mengelakkan gangguan atau manipulasi pihak tertentu.

Ketiga, Bursa malaysia juga dapat mengawal dan menyelia serta memastikan sesuatu urusniaga itu dapat dikesan dan diniagakan oleh peniaga yang didaftarkan melalui pembukaan akaun di syarikat broker. Ini penting bagi tujuan menyemak akauntabiliti setiap urusniaga dan mereka yang terlibat didalam sesuatu urusniaga tersebut.

Kerana inilah juga urusniaga FCPO dapat dijamin keberkesanan operasinya dan menyakinkan pelabur terhadap ketelusannya. Dengan ini kita tidak perlu ragu-ragu, kerana urusniaga futures bukanlah urusniaga ‘atas angin’ kerana kita membeli daripada bursa malaysia dan kita menjual juga kepada bursa malaysia.

nota kaki : artikel ini diambil daripada pelbagai sumber dan diolah bagi tujuan kefahaman pembaca.

rais.my

10 thoughts on “Apa itu pasaran hadapan minyak sawit

  1. saya ingin pelajari ilmu berkaitan FCPO. Boleh saudara dan rakan2 di luar sana yang sudi berkongsi info. tk byk2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*